Thursday, February 12, 2009

Masa Depan Graduan kini..

NILAI- Pelajar USIM bimbang bahawa mereka tidak akan mendapat pekerjaan berikutan kemelesetan ekonomi negara walaupun Kementerian Pengajian Tinggi menjanjikan sebaliknya. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, lebih 800,000 bakal graduan IPT akan mendapat pekerjaan walaupun pertumbuhan ekonomi negara mengalami kelembapan.
Menurut Nooridayu Mustapha, 23, FSU, agak mustahil bagi semua bakal graduan untuk mendapat pekerjaan terutama sekali ketika kelembapan ekonomi negara.
“Setiap tahun jumlah pelajar yang keluar melebihi 800,000 dan ini tidak menjamin semua pelajar mendapat pekerjaan, kerajaan tidak mampu menampung semua bakal graduan,” katanya.
Menurut Dr Asmaddy Haris, pensyarah FEM, Amerika Syarikat merupakan kuasa ekonomi dunia dan kejatuhannya memberi kesan kepada seluruh negara di dunia termasuk Malaysia di mana sekarang ini sedang mengalami kadar pertumbuhan yang perlahan iaitu tidak melebihi empat peratus sahaja.
“Kita bersyukur kerana Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh kerana kita ada produk yang tersendiri”.
“Graduan USIM perlu menonjolkan kelebihan lain yang tidak ada pada graduan dari universiti lain,” tambahnya lagi.
Bagi Juliana Niza Ismail Adnan, guru Bahasa Inggeris, Pusat Pengajian Umum (PPU), graduan yang menganggur sebenarnya tidak menepati apa yang diperlukan oleh majikan, oleh itu mahasiswa perlu ada kemahiran berkomunikasi dan mengetahui banyak bahasa.
“Mahasiswa perlu mencari apa-apa pekerjaan dan jangan terlampau memilih, perniagaan kecil-kecilan dapat mengurangkan pengangguran yang meningkat setiap tahun dan jika ada peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahasiswa haruslah merebut peluang itu,” jelasnya.
Bagaimanapun Mahfuzah Jaafar, 24, FSU, berpendapat bakal graduan seharusnya tidak terlalu memilih dalam mencari pekerjaan memandangkan kemerosotan ekonomi yang sedang dihadapi negara.
“Jika dilihat pada masa sekarang, graduan melayu lebih ramai menganggur kerana mengharapkan gaji yang sesuai dengan kelayakan, Mereka sepatutnya tidak menolak jika mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang rendah”.
“Graduan seharusnya mencari pengalaman terlebih dahulu kemudian barulah memikirkan tentang gaji”, katanya.
Sementara itu, Siti Noradibah Md Zain, 23, FEM, berkata pelajar perlu bijak mencari penyelesaian dalam mendapatkan pekerjaan kerana fenomena pengangguran tetap berlaku tanpa mengira keadaan ekonomi.
“Dapat kerja atau tidak, itu bergantung kepada usaha individu itu sendiri, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan perlu menggunakan inisiatif lain sebagaimana saranan kerajaan yang menggalakkan bakal graduan agar melibatkan diri dalam perniagaan,” jelasnya.
Beliau menyarankan kepada bakal graduan supaya menggunakan peluang yang ada di universiti untuk belajar segalanya bagi menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.



1 comment:

  1. memang patut bimbang pun,nantikan kita jugak yg susah...

    ReplyDelete